4.2
DAJJAL
Himpunan persoalan yang dikemukakan, yang
berkaitan dengan Dajjal. Soalan-soalan ini ada yang secara lisan dan ada yang
dalam bentuk bertulis. Saya susun semula menggunakan perkataan-perkataan saya
sendiri untuk
S - Adakah Nasser Mohamed itu Dajjal?
J – Saya tidak tahu. Boleh jadi ya, boleh jadi
bukan. Tapi secara peribadi, setakat ini saya tidak nampak dia sebagai Dajjal. Dia
hanyalah orang biasa yang mengaku sebagai Al-Mahdi.
S – Ada kemungkinan tak Nasser Mohamed ialah
Dajjal memandangkan dia berambut keriting, berasal dari Yaman dan Abdul Aziz
berasal dari sebuah pulau iaitu Pulau Lombok?
J – Langkah pertama, kita huraikan maksud
soalan-soalan yang saya rangkumkan di atas. Berambut keriting ialah salah satu
ciri Dajjal. Laut Yaman ialah tempat di mana sahabat Nabi iaitu Tamim Ad-Dari
mula belayar. Dalam pelayaran itu dia terjumpa Dajjal di sebuah pulau. Pulau
Lombok pula cuba dikaitkan dengan pulau tempat Dajjal itu berada pada zaman
Rasulullah itu.
Jawapan saya, mungkin bukan.
Perkaitan-perkaitan yang cuba dibuat masih sangat lemah, belum boleh dijadikan
hujah.
S – Betulkah anda berjaya menulis sedemikian
panjang tentang Nasser dan Abdul Aziz selepas membaca Doa Anti Dajjal? Bukankah
ini menunjukkan dia Dajjal?
J – Ceritanya begini……. Ketika mula-mula
menulis tentang Nasser dan Abdul Aziz, saya memang kekurangan idea. Namun
begitu, saya berusaha juga mengumpul perkataan demi perkataan. Kemudian, secara
kebetulan saya terjumpa Doa Anti Dajjal di internet dan datang kemahuan yang
sungguh kuat agar saya membacanya. Sebenarnya doa ini memang sudah lama saya
ketahui, tapi tidak menjadi amalan saya kerana saya sudah punya amalan harian
berupa Amalan Ikhtiar Muslim (yang bersesuaian dengan seorang mu’allij) susunan
saya sendiri untuk pagi, petang dan malam, dan Zikir Harian Imam Al-Ghazali
sebagai tambahan.
Tapi memang benar. Selepas membaca doa itu,
tiba-tiba idea datang mencurah-curah. Banyak benda yang saya tidak terfikir
tiba-tiba menderu-deru masuk. Sehingga sekarang (11 Ogos 2012), tulisan ini
sudah menjangkau 8,000 patah perkataan. Saya menjangkakan ia akan pergi sejauh
15,000 perkataan apabila siap sepenuhnya kelak. Silap-silap lebih daripada itu.
Doa yang saya terbaca itu ialah :
“Ya Allah, aku berlindung dengan
Engkau dari seksaan api neraka Jahannam, dan dari seksa kubur, dan dari fitnah
ketika hidup dan fitnah setelah mati, dan juga aku berlidung daripada kejahatan
fitnah Al- Masih Dajjal.” (Muslim)
Doa ini sesuai dibaca dalam solat selepas
bacaan tahiyyat akhir.
Ada satu lagi doa yang sehampir dengannya
iaitu :
“Ya Allah, aku berlindung dengan
Engkau daripada azab kubur, dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Al-Masih
Dajjal…….” (Bukhari, Muslim)
Baiklah. Sungguhpun fikiran saya jadi lebih
terang selepas membaca doa anti-Dajjal, hal ini tidaklah membuktikan Nasser itu
Dajjal. Saya tidak fikir dia ialah Dajjal. Kita kena memahami bahawa fitnah
Dajjal itu besar lagi luas ertinya. Ia tidak semestinya perkara-perkara yang
dilakukan oleh tubuh Dajjal itu sendiri. Maka perkataan yang mungkin sesuai
kita gunakan, jika mahu dikaitkan juga dengan Dajjal, ialah apa yang diusahakan
oleh Nasser dan para pengikutnya mungkin salah satu daripada FITNAH DAJJAL,
bukannya Nasser itu sendiri Dajjal. WaAllahua’lam.
No comments:
Post a Comment