2.6
YAKJUJ DAN MAKJUJ
Nasser Mohamed percaya Hollow Earth itu
didiami oleh makhluk-makhluk tertentu termasuklah Yakjuj dan Makjuj. Maknanya
selama ini kaum Yakjuj dan Makjuj berada di dalam perut bumi. Suatu hari nanti
mereka akan keluar merosakkan atas muka bumi.
Bahagian berkaitan Yakjuj dan Makjuj ini kalau
dibincangkan secara terperinci akan menjadi sangat panjang. Oleh itu saya RINGKASKAN
perbincangan tentangnya di sini dengan mengatakan bahawa sukar untuk saya
menerima yang Yakjuj Makjuj berada di dalam tanah. Hal ini kerana kita tahu
Zulqarnain membuat penghadang kepada Yakjuj Makjuj DI ANTARA DUA GUNUNG,
maksudnya Yakjuj Makjuj berada DI SEBALIK SANA kedua-dua gunung tersebut,
bukannya di dalam tanah. Suatu hari nanti, tentera Yakjuj Makjuj akan meluru
dari segenap tempat yang tinggi. Jika mereka keluar dari dalam bumi, tentulah
tak sesuai untuk dikatakan mereka meluru turun dari segenap tempat yang tinggi.
“Hingga apabila dibukakan Yakjuj dan
Makjuj, mereka (datang/turun) dari seluruh TEMPAT YANG TINGGI.”
(Al-Anbiya’ : 96)
“Sesungguhnya kamu merasakan kamu
tidak mempunyai musuh, sedangkan kamu sentiasa membunuh musuh kamu, sehingga
datang Yakjuj dan Makjuj dalam keadaan muka yang lebar dan mata yang kecil
berwarna kekuning-kuningan, bersegera (meluru) dari TEMPAT YANG TINGGI,
seolah-olah muka mereka lebam seperti terkena pemukul.”
(Ahmad)
Seterusnya Nasser Mohamed memaklumkan bahawa
Yakjuj dan Makjuj belum keluar ke muka bumi kerana Hollow Earth dipisahkan
bahagian Utara dengan Selatannya oleh Tembok Zulqarnain, yang tentunya sebuah
tembok besi bersalut tembaga. Bahagian ini pun sukar untuk saya berikan ruang
pertimbangan kerana takkanlah Zulqarnain membina tembok di dalam tanah, atau di
alam ghaib. Katanya lagi, mereka akan
keluar apabila Planet Nibiru/ Sijjil/Saqar melewati bumi suatu hari nanti
kerana ketika itu Tembok Zulqarnain akan termusnah.
Namun begitu, sabagaimana yang saya maklumkan
pada bahagian pendahuluan artikel ini, hujah yang pro tidak saya tinggalkan.
Ada sebuah hadith yang boleh kita katakan sebagai penguat kepada kepercayaan
mengatakan Yakjuj dan Makjuj berada di dalam tanah iaitu :
“Sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj
menggali tembok itu setiap hari sehingga mereka HAMPIR DAPAT MELIHAT CAHAYA
MATAHARI. Berkata dalam kalangan mereka : “Marilah kita pulang dan datang
semula esok……” (Ahmad, Turmizi)
Yakjuj dan Makjuj menggali setiap hari
sehingga hampir dapat melihat cahaya matahari. Di sini mungkin maksudnya mereka
menggali dari lokasi yang tidak dipancar cahaya matahari. Mungkinkah mereka di
dalam tanah? WAllahua’lam.
“Nabi saw bangkit dari tidurnya dalam
keadaan muka merah, baginda berkata : “Tiada Ilah selain Allah! Celakalah kaum
Arab yang melakukan kejahatan. Sesungguhnya makin hampir. Telah terbuka hari
ini penutup (AR-RADM) Yakjuj dan Makjuj.” Dan baginda membuat isyarat bulatan. (Ahmad)
Terbukanya penutup Yakjuj dan Makjuj ini
bersesuaian dengan keluarnya suku kaum Khazar dari utara (Rusia) melalui
pergunungan Kaukasus, iaitu dari Celahan Darial (Darial Pass). Setakat ini saya
cenderung mengatakan di situlah lokasi tembok besi bersalut tembaga yang dibina
oleh Zulqarnain, berbanding lokasi-lokasi lain. Penghalang Yakjuj Makjuj
melebar dari Tembok Besar China sehinggalah ke Eropah. Kebanyakannya penghalang
semulajadi berupa gunung-ganang dan kawasan tinggi. Selebihnya ialah tasik besar,
tembok batu, pintu besi dan seumpamanya.
Tapi
apabila Rasulullah bermimpi tentang ‘penutup’ (ar-radm) kepada Yakjuj Makjuj,
maksudnya lebih kepada SUATU BINAAN BUATAN MANUSIA, bukannya penghalang
semulajadi. Ar-radm merujuk kepada binaan buatan manusia, maka sudah tentulah
di Celahan Darial itu ada binaan manusia yang menutup laluan Yakjuj Makjuj. Di
situlah kemungkinan besarnya terdapat tembok besi bersalut tembaga buatan
Zulqarnain. Kaum Khazar ini melakukan kerosakan di tempat-tempat yang mereka
pergi dan berjaya mengalahkan tentera Islam. Bangsa Yakjuj Makjuj itu sangat
besar, kaum Khazar ialah salah satu daripadanya. Maksudnya kaum Khazar ialah
kaum Yakjuj Makjuj pertama yang berjaya meloloskan diri dan melakukan kerosakan
lalu kemudiannya diikuti oleh kaum-kaum Yakjuj Makjuj yang lain.
Berdasarkan hujah ini, Yakjuj Makjuj pada
zaman dahulu bukanlah makhluk aneh, makhluk asing, raksasa dan seumpamanya,
tetapi suku bangsa manusia yang tidak bertamadun. Pada zaman silam,
bangsa-bangsa yang tinggal di utara dunia hidup tidak bertamadun. Sebab itu
mereka digelar ‘orang-orang gasar’ atau ‘barbarians’. Tamadun-tamadun awal
dunia semuanya terletak di selatan daripada penghalang Yakjuj Makjuj seperti
tamadun China, Mesopotamia, Yunani, Greek, Mesir, Mohenjodaro dan lain-lain.
Saya memandang bahagian ini mengurangkan
kemungkinan Nasser Mohamed sebagai Al-Mahdi.
No comments:
Post a Comment