Saturday, August 11, 2012

3.7 Siapa Yang Disembah oleh Nasser Mohamed dan Abdul Aziz?


3.7 MEREKA YAKIN ALLAH TERPENGARUH DENGAN TEMPAT, ARAH, SEMPADAN, TEPI, BATAS,  POSISI
Antara Allah dengan tempat, yang mana ada terlebih dahulu? Tentulah Allah, kerana Dia sudah SEDIA ADA sejak azali. Tidak ada sesuatu apa pun yang mendahuluinya. Bahkan tidak ada suatu apapun yang wujud sekaligus dengan wujud Allah, kerana Dia sudah SEDIA ADA.

Tempat?
Tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi semuanya wujud kemudian daripada Allah. Semuanya Ddiciptakan, semuanya makhluk. Hal ini kerana semua itu TIDAK SEDIA ADA. Semuanya pada asalnya tidak ada. Selepas diciptakan, barulah semuanya ada. Bahkan Allahlah yang menciptakan semua itu. Diciptakan-Nya semua itu daripada tidak ada kepada ada.

Sebelum adanya tempat dan lain-lain itu, Allah sudah sedia ada. Maksudnya Allah sudah sedia wujud tanpa bertempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi. Dan kita sedia maklum, yang ALLAH TIDAK PERNAH BERUBAH. Mustahil Dia mengalami sebarang perubahan. Sekiranya Allah mengalami perubahan walaupun satu, maksudnya itu bukan Allah, tetapi makhluk. Allah tidak mungkin terpengaruh dengan perubahan. Apa sahaja yang mengalami perubahan bukanlah Allah, tetapi makhluk. Allah tidak pernah berubah.

Sebagaimana keadaan Allah sebelum Dia menciptakan makhluk, sebegitulah keadaanNya sekarang, dan begitulah keadaanNya selama-lamanya. Dia kebal daripada sebarang perubahan. Jika sebelum menciptakan makhluk Allah tidak terpengaruh dengan tempat, maka selepas Dia menciptakan makhluk pun Dia tetap tidak bertempat. Jika kita katakan bahawa selepas menciptakan makhluk (termasuklah tempat) Dia mengalami perubahan, maka itu bukanlah Allah kerana Zat Allah mustahil berubah.

Kesimpulannya, Allah tidak pernah terpengaruh dengan tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi. Jika ada orang menyembah sesuatu yang bertempat, berarah, bersempadan, bertepi, berbatas dan berposisi, tidak syak lagi yang orang itu sebenarnya sedang menyembah makhluk, bukannya menyembah Allah. Apabila dia menyembah makhluk, rosaklah aqidahnya.

Mari kita lihat betul-betul siapa yang disembah, yang dinobat sebagai Tuhan, yang menjadi Ilah kepada Nasser Mohamed, Abdul Aziz dan para pendukung mereka.

Daripada tulisan-tulisan sebelum ini, kita sedia faham yang ada SESUATU masuk ke dalam diri Abdul Aziz hinggakan dia berasa sakit, dan benda itu berkata-kata di dalam dirinya. Kita petik tulisan berkaitan :
“Kemudian ibunya (ibu kepada Abdul Aziz) bertanya kepadanya (Abdul Aziz) : “Kenapa kamu nak (anak)? Ada apa denganmu?” Dia menjawab : “Ada SESUATU YANG MASUK DALAM DADAKU dengan melafazkan : “Alqiyamah, Alqiyamah.”

Kemudian SESUATU yang masuk ke dalam badannya itu berkata :
“Kamu adalah CUCU (keturunan) NABI IBRAHIM yang membangun Ka’abah. Dia (Nabi Ibrahim) membangun Ka’abah ini UNTUKMU.”

Hebat! Abdul Aziz tiba-tiba menjadi cucu Nabi Ibrahim. Lebih hebat lagi, Nabi Ibrahim membina Ka’abah itu adalah untuk Abdul Aziz! Dalam Quran, adakah kisah yang mengatakan Nabi Ibrahim membina Ka’abah itu untuk Abdul Aziz yang akan datang pada akhir zaman nanti?

Kemudian Abdul Aziz dinampakkan satu makhluk besar bersayap yang memukul air laut yang diyakininya sebagai Malaikat Jibril. Terjadi lagi dialog antara Abdul Aziz dengan SESUATU yang masuk ke dalam dirinya:

“Jika (yang bersayap) itu adalah Jibril, maka siapakah engkau (yang sedang berada dalam diriku ini)?” Di sinilah SESUATU yang memasuki dirinya menjawab : “AKULAH ALLAH YANG MAHA SUCI DAN AGUNG, TUHANMU DAN TUHAN SEMESTA ALAM.”

Allahu Akbar! Apabila SESUATU itu BERTEMPAT dalam diri Abdul Aziz dan berkata-kata dari ARAH dalam dirinya, maka tidak ada dolak-dalik lagi SESUATU itu memang dipengaruhi oleh tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi. Maka SESUATU yang dipercayainya sebagai Allah itu jelas-jelas bukan Allah, tetapi MAKHLUK YANG SEDANG MENGAKU SEBAGAI ALLAH!

Abdul Aziz, Naser Mohamed dan seluruh pengikut mereka percaya sepenuh hati memang itu Allah. Maksudnya….. mereka tidak menyembah Allah tetapi makhluk, yang mereka sangkakan makhluk itu Allah. Tuhan mereka bukan Allah tetapi makhluk. Ilah mereka bukan Allah tetapi makhluk. Hal ini kerana Allah tidak terpengaruh dengan tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi. Tapi SESUATU dalam tubuh Abdul Aziz itu dipengaruhi oleh tempat, arah, sempadan, tepi, batas dan posisi.

Layakkah mereka yang berIlahkan/berTuhankan SESUATU yang bertaraf makhluk itu menjadi Al-Mahdi, Pemuda Bani Tamim, imam kepada Nabi Isa, pemegang panji-panji hitam dari Timur, penyelamat umat dan agama Islam…….?

Orang-orang yang terpengaruh dengan ajaran Nasser dan Abdul Aziz sebenarnya mengikut secara bertaqlid buta. Mereka sendiri tidak tahu apa yang sedang mereka anut.

“Dan  kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak mengandungi sedikit pun kebenaran.” (Yunus : 36)

“Mereka tidak mempunyai pengetahuan sedikit pun tentang itu, mereka tidak lain hanyalah mengagak-agak belaka.” Az-Zukhruf : 40)

Abdul Aziz baru bermimpi melihat (sesuatu yang disangkakannya) Jibril memukul air laut, sudah berasa dirinya Pemuda Bani Tamim. Padahal ada satu ajaran sesat di Malaysia yang guru dan para pengikut kanannya boleh mengundang dan berdialog dengan (sesuatu yang mereka dakwa sebagai) Jibril dalam bentuk asalnya lebih kurang sama seperti yang dilihat oleh Abdul Aziz, secara jaga, bukan secara mimpi.

No comments:

Post a Comment