Saturday, August 11, 2012

3.6 Abdul Aziz Anggap Syaitan Sebagai Tuhan


3.6 KEKUATAN TUBUH DAN JIWA
Dalam mimpi melihat tempat yang disalah sangkanya sebagai neraka itu, Abdul Aziz berasa ADA SESUATU YANG MASUK KE DALAM DIRINYA. Kemasukan benda itu membuatkan bahagian dadanya berasa sakit. Benda itu berkata-kata kepada hatinya tanpa henti.

Kemudian Abdul Aziz terjaga, namun benda itu masih ada dalam dadanya dan dadanya masih sakit. Benda itu masih terus berkata-kata. Dia tidak tentu arah lalu berlari ke Masjidil Haram untuk mendapatkan bantuan. Tidak ada seorang pun di Masjidil Haram pada pukul 1 pagi? Memang pelik.

Keadaan itu berterusan sehinggalah tiba waktu Subuh. Apabila azan Subuh berkumandang, benda itu pun berhenti berkata-kata di dalam dadanya. Nampaknya ia takut atau terkesan dengan azan Subuh. Dipendekkan cerita, benda itu tidak lain ialah ALLAH! Begitulah kepercayaan Abdul Aziz, Nasser Mohamed dan para pengikut mereka.

Saya biasa melakukan kerja-kerja seorang mu’allij (perawat perubatan Islam yang lebih menumpu kepada kaedah Tibbun Nabawi, tradisional dan alternatif). Kes seperti yang dialami oleh Abdul Aziz memang biasa kami temui. Ia tidak lain ialah kemasukan jin ke dalam badan.

Jin itu mengaku Allah? Bukan sesuatu yang menghairankan. Jin-jin jenis inilah yang biasa masuk ke dalam tubuh penganut agama Hindu lalu mengaku sebagai Siva (yang Tuhan), Kali (yang juga Tuhan), Batara Guru (Tuhan juga) dan lain-lain. Ia bukan setakat boleh berbicara kepada tuan punya tubuh yang dimasukinya, bahkan kepada orang-orang lain di sekeliling tuan tubuh itu. Orang-orang Hindu percaya itu memang Tuhan sebenar.

Jin jenis ini jugalah yang masuk ke dalam badan sebahagian penganut agama Tao/Buddha lalu mengaku sebagai Tai Shang Lao Jun (Tuhan), Ban Ku Shi (Tuhan juga), Huang Ti (Tuhan juga), Kuan Yin (dewi) dan sebagainya. Penganut agama Kristian tidak terkecuali. Banyak kes berlaku di mana benda dalam badan manusia mengaku sebagai Jesus Christ (Tuhan), Marie (Maryam), Roh Kudus (Tuhan) dan lain-lain. Dan mereka betul-betul percaya itulah Tuhan sebenar, yang berbicara dari dalam tubuh manusia.

Jin-jin yang memainkan peranan seperti ini jenis yang sangat licik. Jumlah mereka mungkin tidak ramai, tapi punya kedudukan/pangkat tinggi di sisi raja mereka iaitu Iblis. Jin jenis inilah yang pernah cuba menyesatkan Syeikh Abdul Qadir Jilani, tapi ia mencuba dari luar tubuh kerana perisai Syeikh Abdul Qadir Jilani kukuh, tak boleh tembus masuk. Jin ini jugalah yang berjaya menyesatkan Barsisa si ahli ibadah, yang juga dilakukannya dari luar tubuh kerana ia tak berupaya menembusi tubuh Barsisa. Apabila jin ini boleh masuk dengan mudah ke dalam dada Abdul Aziz malah menyakitkannya, nampak sangat betapa lemahnya calon Pemuda Bani Tamim kita. Perisai tembus pun masih berkhayal mahu menjadi pemegang panji-panji Al-Mahdi. Awal-awal sudah tewas kepada syaitan, macam mana bung? Kalau diri kuat, jin jenis itu tak mungkin dapat masuk. Jin itu pun pandai, dia pilih tubuh dan jiwa yang lemah, agar mudah dikuasainya.

Cuba tuan-tuan tengok gambar Abdul Aziz yang beredar. Walaupun dia cuba memberikan ‘pose’ yang menarik hati, berusaha untuk memberikan senyuman memikat, dari sudut pandang seorang mu’allij (yang ilmu saya tidaklah banyak pun), jelas nampak DIA SEORANG YANG SEDANG SAKIT. Tubuh dan dirinya tidak sihat sebenarnya. Dia tak dapat menyembunyikan masalah kesihatan jasmani dan rohaninya daripada saya dengan ‘pose’ sebegitu. Sebab itu dalam ajaran Islam, sangat digalakkan agar pihak lelaki melihat muka dan tapak tangan wanita yang hendak dipinangnya terlebih dahulu. Hal ini kerana pada muka dan tapak tangan si wanita sudah ada pelbagai petunjuk tentang keadaan diri si wanita, tidak perlu melihat bahagian-bahagian tubuh yang lain.

Cuba para pembaca tunjukkan gambar Abdul Aziz itu kepada orang-orang yang ahli dalam hal ini (saya tidak ahli, cuma tahu sedikit daripada ilmu itu yang lebih luas), saya yakin, mereka akan mengatakan yang Abdul Aziz sebenarnya sedang sakit jasmani dan rohani juga. Sebaiknya Abdul Aziz dibawa berubat. Jangan pergi kepada seorang sahaja, biar kepada  beberapa orang perawat. InsyaAllah dia boleh disembuhkan.

Saya cuba juga ‘scan’ dari jarak jauh gambar-gambar Nasser Mohamed si Al-Mahdi, tapi gagal dapatkan apa-apa yang kukuh untuk dikongsi.

Hebatnya Abdul Aziz, ALLAH MASUK KE DALAM DIRINYA dan berkata-kata secara langsung kepada dirinya. Nabi Muhammad sendiri tidak begitu melainkan melalui perantaraan Malaikat Jibril. Kalah Nabi Muhammad dengan Abdul Aziz! Bahkan semua nabi kalah kepadanya kerana Tuhan sendiri masuk ke dalam dirinya.

Pada saya, bahagian ini tentunya merudumkan nilai Abdul Aziz untuk menduduki jawatan Pemuda Bani Tamim.

No comments:

Post a Comment